
Perjalanan
Kembara Mahkota Johor 2002 bermula di Bukit Timbalan dengan “flag-off”
disempurnakan oleh YAB Menteri Besar Johor. Program Kembara Mahkota Johor yang
diilhamkan sepenuhnya oleh D.Y.A.M. Tunku Mahkota Johor Tunku Ibrahim
Ismail ibni Sultan Iskandar Al-Haj ini bertujuan untuk mendekatkan istana dengan rakyat di seluruh
Johor. Siri kedua program ini berlansung selama 4 hari 3 malam dengan
merentasi 7 daerah dengan lebih 15 destinasi. Ekspedisi kali ini
melibatkan jarak pengembaraan bermotosikal sejauh 1002 kilometer
melalui laluan jalanraya. Acara pada kali ini juga turut disertai
bersama oleh Putera dan Puteri D.Y.A.M Tunku Mahkota Johor. Ekspedisi
kali ini juga berjaya menarik syarikat-syarikat korporat turut terlibat
dalam menjayakan program kemasyarakatan.
Dengan
kejayaan ekspedisi Kembara Mahkota Johor yang pertama, D.Y.A.M Tunku Mahkota Johor
menjadikan acara tahunan. Jelajah Mahkota Johor diteruskan pada
siri kedua pada tahun 2002 dan dapat dijayakan dengan cemerlang.
Pada Kembara Mahkota Johor kali kedua D.Y.A.M Tunku Mahkota Johor lebih menekankan
pendekatan program amal bagi membantu golongan yang kurang bernasib
baik. Alhamdulillah, ianya dapat dijayakan dengan cemerlang dimana
dalam program Kembara tersebut, D.Y.A.M Tunku Mahkota Johor bukan sahaja dapat
bermesra dengan rakyat tetapi juga dapat menyampaikan hadiah dan
sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
Atas
usaha dan inisiatif D.Y.A.M. Tunku Mahkota sendiri, hadiah dan sumbangan
barangan ditaja oleh beberapa badan-badan korporat tempatan. Apa
yang menariknya program Kembara ini secara tidak langsung juga berjaya
menjadi jambatan bagi mewujudkan budaya korporat yang prihatin yang
bukan mementingkan keuntungan semata-mata. Di antara badan-badan
korporat yang terlibat adalah EON Berhad, Motosikal dan Enjin National
Sdn Bhd (MODENAS) dari Kumpulan DRB-HICOM, Tenaga Nasional Berhad
dan Syarikat Ehsan Ria Sdn Bhd (pengeluar komputer berjenama PINTAR).
Majlis
tajaan motosikal MODENAS dan sumbangan EON telah berlangsung di
pejabat EON Berhad di Glenmarie pada 19hb Mac 2002. Motosikal Jaguh
telah digunakan dalam Kembara kali ini dimana D.Y.A.M Tunku Mahkota Johor
menunggang salah sebuah motosikal tersebut.
Berikut
adalah kronologi ekspedisi empat hari tiga malam itu.
Isnin
(25hb Mac 2002)
Kembara
menuju ke Kota Tinggi sebagai destinasi pertama Kembara Mahkota
Johor 2002 bermula jam 8.50 pagi. Sejurus tiba di Bandar Kota Tinggi,
D.Y.A.M Tunku Mahkota Johor beramah mesra dengan rakyat sebelum bertolak ke Felda Air
Tawar 5. Ketibaan D.Y.A.M. Tunku Mahkota disambut oleh Pengurus dan
Pegawai Felda Air Tawar 5, serta pelajar sekolah. Di Felda Air Tawar
5, D.Y.A.M Tunku Mahkota Johor meninjau aktiviti kebudayaan dan beramah mesra
dengan anak-anak yatim sebelum bertolak ke Tanjung Sedili untuk
meninjau projek Program Pembanguanan Rakyat Termiskin (PPRT).
Pada
jam 1.30 petang rombongan Kembara Mahkota Johor terus menuju ke
Daerah Mersing dan sempat singgah di rancangan Felcra Sungai Ara.
Setiba rombongan D.Y.A.M Tunku Mahkota Johor di sempadan daerah Mersing iaitu
di Felda Tenggaroh, rombongan Kembara Mahkota Johor mendapat sambutan
meriah daripada beratus-ratus rakyat dan pelajar sekolah yang berbaris
di kiri dan kanan jalan. D.Y.A.M Tunku Mahkota Johor sempat bertemuramah dengan
penduduk Tenggaroh sebelum meneruskan perjalanan ke Mersing.
Sejurus
tiba di Bandar Mersing pada jam 2.30 petang D.Y.A.M Tunku Mahkota Johor sempat
menyampaikan hadiah dan cenderahati bagi Kejohanan Sepak Takraw
Regu terbuka daerah Mersing 2002 dan seterusnya menuju ke Kampung
Tenglu Laut untuk meninjau projek ternakan Udang Harimau yang diusahakan
di sana.
D.Y.A.M Tunku Mahkota Johor dan rombongan Kembara Mahkota Johor kemudiannya bertolak
ke Endau menuju ke Kampung Triang Besar dan disambut oleh penghulu
dan penduduk kampung. Sambutan yang meriah daripada penduduk kampung
disertai dengan acara sukaneka seperti memancing, meniup belon,
lari dalam guni, menganyam ketupat, bowling padang dan lain-lain
di mana D.Y.A.M Tunku Mahkota Johor sendiri mengambil bahagian dalam beberapa
acara. Sebelum berangkat ke Pusat Bina Semangat di Sekakap, D.Y.A.M Tunku Mahkota Johor sempat menyampaikan hadiah kepada pemenang acara sukaneka
berkenaan.
Pada
sebelah malamnya D.Y.A.M Tunku Mahkota Johor berkenan menghadiri majlis meraikan
anak-anak yatim, orang-orang tua dan golongan miskin daerah Mersing
di Bandar Mersing.
Selasa (26hb Mac 2002)
Seawal
jam 8 pagi rombongan Kembara bertolak ke daerah Kluang. Rombongan
Kembara Mahkota Johor sempat singgah di Kampung Pengkalan Batu dengan
disambut oleh Pegawai Daerah, Ahli Parlimen, ADUN Penghulu dan Ketua
Kampung. D.Y.A.M. Tunku Mahkota berkenan meninjau projek PPRT di sana.
D.Y.A.M. Tunku Mahkota sendiri berkenan menyerahkan kunci kepada salah
seorang peserta projek perumahan PPRT di Pengkalan Batu.
Pada
jam 9.45 pagi rombongan Kembara Mahkota johor bergerak ke Kem PGA
Batalion ke-5, di Simpang Renggam. Dalam perjalanan tersebut, rombongan
Kembara telah singgah di Kampung Lukut Kahang, Batu 28 Kluang untuk
meninjau projek PPRT di sana.
Rombongan
Kembara tiba di Kem PGA pada jam 11.30 pagi dengan disambut oleh
Komanden Bridget Tengah Datuk Sudin Ali dan pegawai Pemerintah Batalion ke-5, Mohamad Nazri Bin Ismail dengan paluan kompang di pintu masuk kem
berkenaan. Kem PGA telah mengatur berbagai program sempena lawatan
D.Y.A.M. Tunku Mahkota bersama ahli rombongan Kembara Mahkota Johor.
Setelah aturcara di Kem PGA selesai, Kembara Mahkota Johor melawat
Sekolah Kebangsaan Sri Machap Kluang. D.Y.A.M. Tunku Mahkota berkenan
menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan melukis kanak-kanak
yang dianjurkan di sana.
Pada
jam 3.45 petang rombongan D.Y.A.M. Tunku Mahkota tiba di rumah anak-anak
yatim Kluang dimana D.Y.A.M. Tunku Mahkota berkenan menyampaikan sumbangan
peribadinya. Seterusnya, rombongan Kembara Mahkota Johor terus menuju
ke Kem Mahkota Kluang dengan disambut oleh pegawai-pegawai kanan
tentera di Kem tersebut. Pada sebelah malamnya, D.Y.A.M. Tunku Mahkota
dan rombongan Kembara telah disajikan persembahan kebudayaan sambil
menikmati jamuan makan malam.
Rabu
(27hb Mac 2002)
Pada jam 8.00 pagi rombongan Kembara telah menuju ke Segamat dengan
singgah di pekan Chaah. Rombongan telah disambut oleh Pegawai Daerah
serta dif-dif kenamaan. D.Y.A.M. Tunku Mahkota telah menyampaikan hadiah
dan sumbangan kepada orang miskin dan golongan istimewa sebelum
bertolak ke pekan Labis.
Rombongan
Kembara Mahkota Johor tiba di Batu Anam pada jam 11.00 pagi dengan
disambut oleh pemimpin dan penduduk tempatan. Di Batu Anam, D.Y.A.M.
Tunku Mahkota berkenan menghadiri majlis perkahwinan pasangan India
dan melihat keunikan budaya bangsa meraka.
Pada
jam 12.15 tengahari rombongan D.Y.A.M Tunku Mahkota Johor telah menuju ke Bukit
Kepong melalui Kampung Paya Pulai, Segamat. D.Y.A.M. Tunku Mahkota telah
mendengar taklimat di Balai Polis Bukit Kepong dan seterusnya, merasmikan
Balai Sejarah Bukit Kepong. Rombongan Kembara seterusnya menuju
ke kompleks Sukan Pagoh. D.Y.A.M. Tunku Mahkota telah beramah mesra
dengan penduduk dan turut menyertai acara sukaneka yang dianjurkan.
D.Y.A.M. Tunku Mahkota juga sempat melawat pameran Vespa Antik yang
diadakan.
Pada
jam 5.45 petang D.Y.A.M. Tunku Mahkota sempat menziarahi Makam Sultan
Alauddin Riayat Shah 1, dan seterusnya turut serta dalam acara gotong-royong
bersama penduduk setempat. Pada sebelah malamnya D.Y.A.M. Tunku Mahkota
menghadiri cara kenduri “ memotong jambul” yang dianjurkan
oleh penduduk Kampung Raja Pagoh. Majlis tersebut juga turut dihadiri
bersama Pengerusi TNB Datuk Jamaludin bin Jarjis, Ahli Exco Negeri
Johor YB Zahari bin Jamil, YB Samat bin Aripin dan dif-dif kenamaan
yang lain. Majlis diserikan dengan bacaan marhaban dan berzanji
dan D.Y.A.M. Tunku Mahkota sendiri berkenan memotong jambul anak-anak
peserta yang terlibat.
Khamis (28hb Mac 2002)
Pada jam 8.00 pagi rombongan Kembara Mahkota Johor bertolak ke Batu
Pahat melalui Pekan Bakri. Keberangkatan tiba D.Y.A.M. Tunku Mahkota
di Simpang Tiga Pekan Sri Medan disambut meriah oleh pemimpin masyarakat
dan penduduk serta para pelajar sekolah yang berbaris di kiri kanan
jalan. D.Y.A.M Tunku Mahkota Johor meninjau projek PPRT Sri Medan dan menyampaikan
sumbangan kepada penduduk PPRT dan kanak-kanak istimewa.
Pada
jam 10.05 pagi keberangkatan tiba rombongan Kembara Mahkota Johor
di Taman Banang Batu Pahat dengan sambutan meriah oleh penduduk
setempat. D.Y.A.M. Tunku Mahkota merasmikan balairaya Taman Banang serta
melawat pameran basikal antik. Destinasi seterusnya adalah daerah
Pontian dimana D.Y.A.M Tunku Mahkota Johor disambut meriah di Pekan Tampok iaitu
sempadan daerah Pontian-Batu Pahat. Kembara Mahkota Johor seterusnya
menuju ke Kampung Orang Asli Pontian Besar iaitu Kampung Sri Dungun.
D.Y.A.M. Tunku Mahkota berkenan menyampaikan kunci rumah kepada PPRT
di sana sebelum bertolak menuju ke Bandar Pontian. Keberangkatan
tiba D.Y.A.M. Tunku Mahkota dan rombongan Kembara disambut oleh pemimpin
dan rakyat serta para pelajar sekolah.
Pada
jam 3.30 petang rombongan Kembara Mahkota Johor tiba di persimpangan
di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru bagi merasmikan Mercu Tanda
Pekan Kampung Melayu Majidee. Rombongan D.Y.A.M. Tunku Mahkota telah
dihidangkan dengan acara kebudayaan serta jamuan ringan.
Pada
jam 4.15 petang D.Y.A.M. Tunku Mahkota dan rombongan terus menuju ke
Bangunan Sultan Ibrahim di Bukit Timbalan, dengan disambut oleh
YB Dato' Setiausaha Kerajaan Johor dan ketua-ketua jabatan bagi
acara penutup program Kembara Mahkota Johor 2002.

Kedudukan Laluan Kembara Mahkota Johor 2002

|